Darul Taqwa & Datuk Dr Johar

Ayuh sahabat2 sekalian.. luangkan masa utk hayati cerpen ini.. =)

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang
dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan
purba? begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan
kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.
"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi
di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman."
Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani
menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.
"Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam
datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih
dengan serban yang melilit kepalanya.
Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar
aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu tengok duit merah,
biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan
pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada
helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke
sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari
busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden.
Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka…Ah, di mana aku
sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.
"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang
menegurnya tadi.
Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara
lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki
itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu
membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba- tiba datang sebuah
kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki
dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam
berjalur biru.
"Assalamualaikum. …Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik.
Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di
Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang
iman. Negara ini menitikberatkan iman…. Pakcik didenda, 30 kali
subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali."
Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar
tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di
seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun
egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ?
" Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita
selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? "
tanyanya angkuh.
"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit
bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat,
bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan
tenang.
"Oh, oh …. maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa
pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu
?" Tanya pegawai itu pula.
Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia
berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya
dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher,
kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal
pula - Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally.
Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia
yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.
"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di
negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "
"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum
berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang
pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat.
Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam
buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah
berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu
kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah
negara Islam seperti darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya
ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di
tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala
lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah
sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.
"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji
Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk
memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."
Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow
Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah
tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak
Datuk Dr. Johar.
"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh
sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan
pakcik dunia dan Akhirat…"
Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh.Nyaring dan
jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai
penguatkuasa.
"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka
amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di
hukum di Akhirat!" rayu lelaki itu.
Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan
itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya
mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas …Lega.Dahaga , lapar mula
menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum. Tapi di
mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di
tepi-tepi jalan :

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al
Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu
fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi
dan minuman. Sila datang!"
Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli
menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk
ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan.
Semuanya berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua
itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.
"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."
"Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada
perempuan."Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada
restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan
perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!".
Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni
kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah
berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir
Muhammad,pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa
Women’s Libs.Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk
ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan
anak perempuan,"terangny a. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih.
"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan
kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni…"
"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu.
Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam
perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang
dengan fahaman jahiliyyah tu… Subhanallah. …" Keluh tuan restoran
itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang
ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.
Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun
duduk. "Nasi beriani sepinggan !"ujarnya kepada pelayan.
"Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan.
"Ya ! Apa peliknya?",

"Baik,tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan
makan seorang ?" tanya pelayan berkulit hitam itu.
Dia tambah geram.direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati
makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan
dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek!
Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan
ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.
"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu
dengan sopan.
Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin
lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang
diri bagai kera sumbang.
" Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam
sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang
kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja
"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?"tanya
sahabatnya di sebelah.Dia nampak simpati.
Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu
ringgit …malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi,
seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita
sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka
patutnya bantulah kita.Tolonglah terima sedekah kita.Ah, susahnya jadi
orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya,
Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita.�
�Oh…!� keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda
tadi."Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita
korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui
warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada
moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara
atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan
kementerian- kementeriannya. … saya nak labur habis-habisan. Biar jadi
saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan
dengan perlahan -lahan.
Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya
kepada pelayan restoran.
"Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan … berhentilah sebelum
kenyang.Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan
kedai merangkap pegawai perubatan ….," kata pelayan itu lagi.
"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri
atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di
restoran!" bentaknya. Marah campur geram.
"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi,
kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera
ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan
berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu
hospital!�
"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis
macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan.
"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku
perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada
siapa menghidapnya. …."
"Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu
hiburan sekarang …Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya.
"Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana,
tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau
pasal bil. Percuma.�
Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang
ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna
berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat
disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre
Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden
Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya;
satu butang warna hitam ditekan . Dalam skrin timbul tajuk besar-
KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU
TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN ,
IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh…Oh … seram sejuk tubuhnya. Apa nama
lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.
Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum
nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.
Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di
atas skrin komputer: RAJA’. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu.
Dibacanya dengan teliti… FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN
RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI�.. Kepala datuk Dr. Johar
makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada
lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah
coklat di sebelahnya.
"Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang
ni.Top-hit anak-anak muda sekarang…"
"Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan
kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar
lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu.
Ayat suci Al-Quran a… "Eh …ni suara orang mengaji,"

"Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul
lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup
rapat-rapat. Asyik sekali dia.

Kemudian getaran suara bergema
…. Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
mendamba kasih yang tidak berhujung
mengutip sayang di hamparan cinta suci.
Inilah getaran hatiku memburu cinta…….
stanza hati merindu Ilahi!"
Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.
"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami
halalkan sajalah …"
Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya bayar
dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.
"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima,
kami halalkan sajalah."
"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan
berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar
pencuri."
" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong
tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim
kerana takutkan seksa Neraka."
"Ah, aku tak nak dengar semuanya.makin gila aku dibuatnya," pekik
Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di
luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini
mentadbir teknologi begini tinggi.
Pemandu bullet train berserban merah tersenyumkepadanya. Pilot
helikopter dengan tulisan ‘MAKRUFAT AIR TRANSPORT’ sibuk dengan
urusannya. Di seberang jalan tertegakpapan iklan dengan tulisan yang
jelas :" KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu
terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak
meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah.
Isy,meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan
senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa
jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk
Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian
tersumbat itu tiba-tiba meletus.
"Datuk..!Datuk. .! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !"
Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan
pilihanraya hari itu.
"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? "tanya Datuk Dr. Johar.
"Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu
demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya. .."
"Habis, mereka mahu apa?"
"Mereka mahu Islam, Datuk!"
"Islam ? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.
"ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG..ITULAH JANJI ILAHI"

"Pasakkan Sabat Teguhkan Istiqamah"

Leave a Reply